Sunday, 4 March 2012

Pelembap dan toner semulajadi

Hari ini saya menonton rancangan Safiyyah di TV9.  Saya tertarik dengan buah  tomato sebagai bahan perawatan semulajadi yang bebas dari bahan kimia dan mesra alam.  Ia digunakan untuk melembapkan kulit wajah.

Melembap wajah
Bahan yang digunakan ialah tomato, gula dan kalau ada madu pun ok juga. 
Caranya ialah mula-mula potong dua tomato.  Satu digunakan untuk pagi dan satu lagi untuk malam.  Kemudian tekap bahagian yang dibelah pada gula dan oles pada wajah.  Biar seketika...selama 5 minit dan cuci dengan air suam..Mudah bukan. Lakukan dua kali seminggu.

Toner wajah



Untuk toner pula, bahannya amat mudah iaitu gunakan saja ais.  Setelah proses melembapkan wajah menggunakan tomato tadi selesai, ambil pula ais.  Rata-ratakan ais yang sejuk itu pada wajah.  Emm..nyaman.  Yang penting ia tak memudaratkan kulit dan sesuai untuk semua njenis kulit.

Tuesday, 21 February 2012

Wanita + Kerjaya + tanggungjawab = Masa belai diri

Seiring dengan kecemerlangan kerjaya, wanita berkeluarga tentu mahu berketerampilan diri mereka sentiasa terserlah.  Ini termasuklah aspek

*  Penjagaan kulit
*  Alat solek dan teknik solekan yang betul
*  Pakaian yang sesuai
*  Diet seimbang
*  Penjagaan rambut dan kaki
*  Kaedah menguruskan tekanan

Berurusan dengan keadaan seharian sama ada di tempat kerja ataupun ketika menjalankan tanggungjawab rumah tangga dan si kecil kesayangan sudah cukup memberi tekanan yang berat.  Oleh itu, anda harus sentiasa bersedia bagi memastikan tampil di khalayak ramai dengan cara yang terbaik. 
Sesetengah wanita terutamanya yang berkerjaya merasakan sukar untuk menyediakan sarapan buat anak dan menyiapkan si kecil sebelum ke sekolah.  Akhirnya, persediaan ke tempat kerja hanya dilakukan ala kadar kerana tidak cukup masa.
Namun, permasalahan dapat diselesaikan jika anda tahu mengurus masa dan tahu tentang tip menguruskan kecantikan dan penampilan diri.  Jika semua ini ada, yakin anda boleh katakan pada diri anda,

           "Ya, saya boleh memiliki pekerjaan yang memuaskan serentak dengan perkahwinan yang bahagia, rumah tangga yang harmoni, anak-anak yang menjadi dan penampilan diri yang menawan".

Ini tip buat anda;

Jaga kulit anda

Individu biasanya akan menilai apa hanya dapat dilihat melalui luaran iaitu penampilan diri.  Oleh itu sentiasa pamerkan wajah yang terbaik setiap kali berdepan dengan orang lain.
  • Kulit berminyak
-  Cuci muka 2 kali sehari sebagai rutin.  Gunakan astrigen untuk membuang baki sabun dan kotoran bagi kulit.  Sapukan pelembap kulit.  Pastikan pencuci dan pelembap kulit adalah sesuai dengan jenis kulit anda.
  • Kulit kering
-  Anda yang berkulit kering boleh menggunakan cecair menanggalkan solekan berasaskan krim.  Penggunaan toner lebih sesuai berbanding astrigen.  Jangan lupa gunakan pelembap kulit.
  • Kulit sensitif
-  Elakkan menggunakan produk free fragrance dan yang boleh membawa kerengsaan pada kulit.  Gunakan span petola, exfoliating krim atau losyen untuk membuang sel-sel mati dan menghalang pori-pori dari tersumbat.

p/s:  Walaupun anda keletihan menguruskan kerja dan rumah tangga, rutin harian mencuci dan melembapkan kulit jangan ditinggalkan.  Kelalaian anda akan menyebabkan sisa solekan dan kotoran serta daki akan meyekat pori-pori wajah hingga mendatangkan masalah bintik hitam, jerawat dan sebagainya.


Mekap

*  Pilih bedak asas yang sesuai dengan warna dan jenis kulit anda.

  • untuk kulit sawo matang - pilih alas bedak yang sama warna dengan kulit.  Boleh dicampur warna yang lebih muda untuk nampak kuning langsat.  Untuk bedak, pilih warna yang setingkat lebih muda agar nampak cerah
  •  untuk kuning langsat - pilih alas bedak yang sama warna dengan kulit.  Boleh juga pilih warna yang lebih muda untuk kelihatan cerah.
  • untuk kulit coklat gelap - pilih alas bedak yang sama warna dengan kulit.  Hindari dari dicampur warna yang lebih muda kerana wajah akan kelihatan kusam.
*  Sapukan pemerah pipi pada tulang pipi agar lebih menonjol.
  • untuk kulit sawo matang  - pilih warna coklat muda
  • untuk kuning langsat - pilih warna pink
  • untuk kulit coklat gelap - pilih warna yang muda dan mengandungi shimmer .



*  Bagi lipstik untuk bibir, cubalah teknik bermain dengan warna bibir iaitu dengan cara mencubanya.  Pastikan pilihan warna lipstik yang sesuai dengan anda.
  • Untuk berkulit sawo matang:  anda boleh memilih lipstik warna keemasan, coklat muda dan merah.
  • Untuk berkuning langsat:  anda boleh memilih lipstik warna muda seperti warna beige, pink dan merah bata.  Lebih menawan dipadankan dengan pengilat bibir.
  • Untuk berkulit coklat gelap:  anda boleh memilih lipstik warna coklat, merah, pastel dan jingga.  Umumnya, semakin gelap warna kulit, semakin anda dapat menggunakan warna-warna lipstik yang lebih cenderung gelap.

Pakaian vs kejayaan

*  Pakaian yang sesuai dipadankan dengan jenis profession yang diceburi atau protokol di sesebuah syarikat.  Pastikan pakaian bersesuaian dengan bentuk badan, warna kulit, suasana persekitaran dan kelihatan kemas. 

*   Jangan keterlaluan berpakaian kerana anda menyandang status sebagai isteri dan ibu.


* Bentuk tubuh wanita biasanya terbahagi kepada empat jenis iaitu jenis banana, apple, pear dan hourglass.
  • Jenis banana - jenis badan begini tidak mempunyai bentuk langsung yang mana bahu, dada, pinggang dan pinggul adalah sama lebar.  Gaya yang sesuai ialah memakai tali pinggang yang kecil untuk bentuk di bahagian pinggang.  Blaus atau semi jaket model 'square jacket'  akan menyerlahkan keanggunan.  Elakkan jaket terlalu lurus atau ketat.  
  • Jenis apple - bentuk tubuh sebegini besar pada bahagian atas.  Pinggul lebih kecil berbanding bahagian bahu, lengan dan dada.  Gaya yang sesuai ialah pilih warna yang lembut pada bahagian bawah dan gelap di bahagian atas. Pilih dress yang ringkas dan kosong dengan fabrik beralun lembut.  Elakkan top atau dress yang ketat dan melekat pada tubuh serta yang banyak sulam, labuci, manik atau ropol. 
  • Jenis pear - bahagian bawah besar daripada dada.  Gaya yang sesuai ialah berpotongan lurus dan tegak untuk kelihatan langsing.  Pilih rona lembut di bahagian atas dan gelap pada bahagian bawah.  Untuk pinggul kelihatan lebih kecil, pakai dress atau blaus dengan pelapik bahu.  Elakkan memakai celana atau skirt jenis kembang tapi pilih jenis A-line.
  • Jenis hourglass -  dada dan pinggul kelihatan agak sama sementara pinggangnya lebih kecil dari dada dan pinggul.  Bentuk badan sebegini menjadi idaman wanita dan sememangnya bertuah kerana sesuai dengan apa jua jenis pakaian.

Kurangkan tekanan

*  Cara terbaik mengurangkan tekanan ialah dengan cara tidur malam yang cukup.  Kurang tidur akan membawabkepada tanda-tanda penuaan dan kulit menjadi pucat lesi serta tidak anjal.  Kedutan juga akan muncul, kulit menjadi kering, bibir merekah dan timbul garis hitam di bawah mata serta kemunculan jerawat. 


*  Selain itu boleh juga melakukan senaman.

p/s:  Rangka jadual harian anda dengan betul dan beri keutamaan kepada sesuatu yang penting agar tekanan dapat diminimumkan.  Ia membantu anda lebih produktiviti sama ada di tempat kerja atau di rumah.

Monday, 20 February 2012

Comel wajahmu, Indah akhlakmu Aisyah r.Ha

Aisyah r.Ha adalah bukan wanita biasa.  Beliau telah dijamin syurga dan merupakan isteri kesayangan Rasulullah S.A.W.  Beliau adalah wanita sejati yang berakhlak mulia, petah berkata-kata, bijak, berperanan besar dalam merungkai masalah dan mahir berhujah.  Beliau berwajah jelita, cantik dan bermata bidadari idaman para wanita.


Keistimewaan Aisyah r.Ha

1.  Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sudah beragama Islam.  Beliau dilahirkan dalam 4 atau 5 tahun selepas kerasulan Nabi Muhammad S.A.W.  Beliau juga muda 8 tahun dari puteri Rasullah S.A.W. iaitu Saidatina Fatimah r.Ha.

2.  Beliau merupakan puteri kesayangan Saidina Abu Bakar As-Siddik, Iaitu sahabat yang paling disayangi Nabi Muhammad S.A.W.

3.  Beliau cantik jelita dan disegani oleh manusia di sekelilingnya.  Kulitnya putih dan apabila beliau senyum, pipinya menjadi kemerah-merahan.

4.  Baginda Rasulullah S.A.W. tidak pernah berkahwin dengan wanita yang masih gadis melainkan dengan Aisyah r.Ha. dan dan merupakan isteri kesayangan Rasulullah S.A.W selepas Khadijah r.Ha.

5.  Aisyah r.Ha adalah wanita cerdik.  Beliau menjadi pakar rujuk agama, hadis, sunnah dan ilmu pengetahuan selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.  Beliau adalah isteri Rasulullah dunia dan akhirat.

6.  Aisyah r.Ha adalah isteri Baginda di dalam syurga. Rasulullah pernah bersabda kepada Aisyah r.Ha, bahawa 'Kematian akan menjadi mudah bagiku ketika melihat Engkau di pintu syurga'.

7.  Rasullullah S.A.W melalui proses perkahwinan yang mulia dengan Aisyah r.Ha.  Sebelum Baginda bernikah, Baginda bermimpi bertemu dengan Aisyah r.Ha selama 3 hari berturut-turut.  Jodohnya dipilih sendiri oleh Allah S.W.T.  Baginda bermimpi malaikat Jibril membawa kain sutera yang cantik dan bagus, dimana apabila Baginda membuka kain tersebut nampak wajah Aisyah r.Ha.
     Aisyah r.Ha sendiri telah berinteraksi dengan malaikat Jibril  di mana Aisyah r.Ha berkata bahawa, ' Aku ada sifat yang tidak ada pada para wanita lain melainkan ada pada sifat Mariam a.s.  Malaikat turun membawa gambarku beserta hidangan dari syurga.'
    Aisyah r.Ha berkahwin pada umur 6-7 tahun.  9 tahun berhubungan suami isteri dan hidup bersama Rasulullah S.A.W. selama 9 tahun.  Pada umur Aisyah r.Ha, 18 tahun Rasulullah S.A.W wafat.

8.  Kemurnian cinta Rasullah S.A.W. jelas pada Aisyah r.Ha.  Amru Bin Al-As telah bertanya pada Rasullullah ' Siapa orang yang paling Engkau cinta.'  Baginda menjawab, 'Aisyah yang paling saya sayang.'  Kemudian Amru Bin Al-As bertanya lagi ' Siapa sahabat yang paling Engkau sayang?'Baginda menjawab, 'Ayah kepada Aisyah yang paling saya sayang.'  Baginda bersabda lagi, 'Barangsiapa yang membenci insan yang dibenci oleh aku, maka Allah dan Rasullullah akan membenci mereka'.  Bagaimana menyayangi insan yang disayangi Nabi Muhammad S.A.W. ?  Caranya tiru akhlak dan ibadat mereka.
      Rasululllah juga pernah memujuk Aisyah r.Ha ketika dia menangis.  Peristiwa ini berlaku ketika puteri Rasullullah S.A.W, Fatimah r.Ha telah mengejek Aisyah r.Ha.Maka Rasululllah memujuk Aisyah r.Ha dan memberitahu kepada Fatimah r.Ha agar tidak mengejek  Aisyah r.Ha kerana Aisyah r.Ha adalah insan yang paling disayangi Baginda.

9.  Kaum muslimin hanya mengirimkan hadiah hanya ketika Baginda bersama Aisyah r.Ha. Mereka amat mengetahui betapa cintanya Rasulullah kepada Aisyah r.Ha.

10. Al Quran yang merupakan qalam dan wahyu Allah turun ketika Rasulullah S.A.W bersama dengan Aisyah r.Ha dan tidak pada waktu-waktu lain.  Ada peristiwa di mana, para isteri Baginda cemburu bila mana hanya ketika Baginda bersama Aisyah r.Ha sahaja kaum muslimin mengirimkan hadiah dan mereka meminta agar Baginda bersabda pada kaum muslimin, agar mengirimkan juga hadiah apabila bersama dengan isteri-isterinya yang lain.  Mendengarkan perkataan dari Ummu Salamah yang merupakan wakil dari isteri-isteri Baginda yang bertanyakan hal itu, maka merah muka Rasullullah dan memalingkan mukanya.  Baginda berkata 'jangan engkau menyakiti hatiku dan Aisyah.  Tidak turun wahyu melainkan ketika aku bersama Aisyah'.  Mendengarkan kata-kata Rasulullah itu, Ummu Salamah hilang rasa cemburu.

11. Doa Rasulullah S.A.W. kepada Aisyah r.Ha.  Ketika Baginda duduk dengan Aisyah, Baginda gembira.  Aisyah r.Ha berkata, '   Ya Rasulullah, tolong Allah berdoa untukku' Kemudian Nabi S.A.W. berdoa, ' Ampunkan dosa Aisyah pada masa lalu,  masa akan datang dan dosanya yang tidak nampak'.  Aisyah r.Ha pun ketawa. Lalu Aisyah r.Ha berkata, 'Doamu itu amat menyenangkan hatiku sebab itu aku tertawa.'  Nabi S.A.W. pun berkata, 'Doa itu sama doa untuk kaum muslimin'.

12. Rasulullah S.A.W wafat ketika kepala Baginda di pangkuan Aisyah r.Ha.

13.   Aisyah r.Ha dapat melihat sendiri wajah malaikat Jibrail a.s.

14.  Kesucian Aisyah  r. Ha turun daripada langit.  Aisyah r.Ha. telah difitnah curang dengan sahabat Nabi S.A.W iaitu Safwan.  Allah membersihkan Aisyah dengan turunnya ayat dari langit.

15.  Aisyah r.Ha berkata, 'Aku dicipta dalam keadaan baik, suci dan bersih.  Aku berada di kalangan orang-orang yang baik.'

 

Wednesday, 8 February 2012

Channel tv live kat Madinah - Haji

Assalamualaikum..

Tanggal 7 Oktober 2011, saya berpeluang menunaikan ibadat haji ke Baitullah.. Berangkat melalui Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.  Naik flight jam 1.40 pagi dan sampai di Saudi arabia jam 9.40 pagi waktu Malaysia.  Waktu Saudi masa tu lak jam 4.40 pagi.  So, solat kat Lapangan Terbang Madinah.  Bertolak ke hotel dengan bas-bas yang berderetan untuk penumpang flight KT30.  Duduk dekat sangat dengan Masjid Nabawi, tak sampai 5 minit pun.  Hotelnyer Hotel Movenpick Anwar Al-Madinah.  Bilik 7020.  Duduk 4 orang sebilik ngan my mum, dan 2 ogr adik iaitu Lina dan Nini.  Kami dijamu oleh katering yang dilantik pihak muasassah Tabung Haji pada pagi itu dengan hidangan nasi lemak.. ok ler...Oleh kerana dekat jer hotel ngan masjid, selalulah saya ke masjid berjemaah 5 waktu... Tapi kene pegi awal ler, kalau tak solet kat dataran jer.  Beruntung duduk di hotel yang agak mewah sedikit, siap ade dapur sekali.



Gambar:  Ini masa subuh kat Masjid Nabawi


Satu perkara yang saya suka ialah kami sentiasa memasang tv 24 jam, kerana ade satu channel tv tu sentiasa menunjukkan siaran langsung ke Mekah iaitu Baitullah diiringi dengan alunan bacaan AlQuran dan terpapar waktu-waktu solat negara di seluruh dunia. Satu lagi channel pun menunjukkan siaran langsung tapi ke Masjid Nabawi.  So boleh tengokler time nak pegi solat tu, tengok suasana orang ramai berduyun-duyun ke masjid.  Dua chanel ni sentiasa dipasang kat tv bilik. Tp kerana rajin, saya pun catit nama-nama negara.. Jom saje tengok-tengok umat Islam yang negara manakah yang ramai menunaikan haji..


Prayer Times For Islamic Countries
(Calculation Method Umm al Qura For 8 Oktober 2011, 10 Zulkaedah 1432 Hijr)

Saudi Arabia - Makkah (Fajr,.. ) (Dhuhr...) (Asr...) (Maghrib...) (Isha..)
                   - Riyadh
                   - Madinah
                   - Dammom
Afganistan - Kabul
Albania - Tirane
Uzbekistan - Tashkent
Uganda - Kampala
Iran - Tehran
Jordan - Amman
United Arab - Abu Dhabi
Bahrain - Manama
Bosnia Herzegovina - Sarajevo
Sudan - Khartoum
Somalia - Mogadishu
Iraq - Baghdad
Gabon - Livrevilla
Kuwait - Kuwait
Yemen - Sanaa
Indonesia - Jakarta
Pakistan - Islamabad
Bangladesh - Dhaka
Benin - Cotonou
Thailand - Bangkok
Turkey - Ankra
Libya - Tripoli
Mali - Bamako
Malaysia - Kuala Lumpur
Egypt - Cairo
Mauritania - Noukchott
Niger -Niamey
Nigeria - Lagos
Syria - Damascus
Tajikistan - Dushanbe
Lebanon - Beirut
Kenya - Nakuru
Ghana - Accra
Cameron - Yaounde
Oman - Muscat
Qatar - Doha
Russia - Moscow
Tunisia - Tunis
Turkmenistan - Ashgabat
Chad - Abeche
Togo - Llome
Guinea - Conarky
Guinea Biscau - Bbiscau
Plaestine - Alquds
Maldives - Male
Sirraleone - Freetowen
Suriname - Paramaribo

Ramai lagi dari orang dari negara yang dicatitkan yang mengerjakan haji tahun ni... Boleh dikatakan macam-macam rupa, kulit, bangsa, keturunan, dan bahasa yang berkumpul di tanah suci ini.

Begitulah rutin harian saya sepanjang berada di bumi Madinah.  Cukupkan 40 waktu solat fardhu yang di Masjid Nabawi.  Oh.. ye, 10 Oktober 2011, saya dibawa oleh ustazah dari tabung haji ziarah dalam iaitu persekitaran Masjid Nabawi.  Ia merangkumi perkuburan Baqi, Maqam nabi Muhammad S.A.W dan sahabatnya beserta di Mihrab Nabi S.A.W di Raudah.  Kemudian,  pada 11 Oktober pulak, pihak tabung haji melantik pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Madinah membawa sekumpulan jemaah untuk ziarah luar dengan menaiki bas.  Ia merangkumi Masjid Quba, ladang kurma, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain dan Jabal Uhud.  Pelajar itu akan menceritakan sejarah di setiap tempat persinggahan.  Bukan sekumpulan bas dari malaysia sahaja, setiap negara membuat ziarah luar ini.  Moga-moga jemaah haji dapat manfaat di setiap tempat yang dikunjungi.  Bukan mudah nak sampai ke bumi yang bertuah ini.  Syukur pada Allah dengan nikmat yang diberi pada hambaNya..


 Gambar:  Ni pulak masa dan waktu solat di Masjid Nabawi


Tapi, bila nak solat dalam Masjid Nabawi, ada pengawal yang menjaga di setiap pintu.  Di situlah, akan digeledah setiap barang yang dibawa masuk ke masjid.  So, jaga-jagalah handset dan kamera anda.  Di bahagian perempuan, pengawalnya menutup seluruh tubuh dengan jubah hitam dan berpurdah.  Bila dah penuh masjid, mereka tidak membenarkan untuk solat di dalam.  Jadi solatlah di tempat dataran yang di sediakan.

Pengalaman amat manis semasa berada di Madinah.  Dalam 2, 3 kali juga saya mengunjungi Raudah di dalam Masjid Nabawi iaitu salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa.  Ada hadis yang sahih iaitu HR Al-Bukhari apa yang disebutkan oleh Nabi S.A.W, "Apa yang berada antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah (sebuah taman) dari taman-taman syurga". Di sinilah terdapatnya Makam Nabi Muhammad S.A.W. dan dua Sahabatnya.  Apa yang membezakan bahagian Raudhah dengan bahagian-bahagian dalam Masjid Nabawi yang lain ialah terdapat tiang-tiang di dalam Raudhah yang dibuat daripada batu marmar putih dan lantai Raudhah dihamparkan dengan karpet yang sangat indah.  Digantung di atas Raudhah lampu-lampu kendil yang mewah.  Saya terpaksa berasak-asak dan duduk mengikut kumpulan sebelum sampai ke Raudah.  Bagi Malaysia, akan dikumpul dalam kumpulan Bahasa Melayu (Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara Asia Tenggara).  Kumpulan lain ialah kumpulan Africa, China, India, Turkey dan Arab.


Selama 8 hari berada di bumi Madinah ini.  Kejap jer terasa.  Bilalah boleh sampai sini.  Kurma di Madinah ini paling terbaik daripada kurma dari Mekah.  di sini saya membeli kurma dan kismis.  Harga bergantung pada jenis kurma.. Kurma terbaik ialah jenis ajwa kira2 60riyal sekilo (lebih kurang RM56).  Bila habis je setiap solat fardhu, dah berderet peniaga jalanan yang tak berlesen.  harga barangnya pulak murah dari dalam kedai.  Mereka jaga-jagalah kot ada penguatkuasa datang.  Tapi musim nilah musim yang rancak bagi warga tempatan membuat duit.  Antara barang yang dijual adalah tudung, jubah, tasbih dan kopiah.

Sampailah masa meninggalkan bumi Madinah, menuju ke tanah suci Mekah.  Kira-kira jam 7 malam kami bertolak menaiki bas.  Sebelum itu, saya akan mandi sunat ihram dan melakukan perkara-perkara sunat sebelum berihram di bilik hotel. Semua barang tak dilupakan bawa,dan kali ni dah bertambah akibat membeli buah kurma dan sedikit jubah.  Kali ini saya akan berniat ihram di masjid di perjalanan.  Di Mekah nanti saya diberi tempat tinggal di Bangunan Abraj Al Janadriyah, Maktab 88 di tingkat 14, bilik 13.

Selamat tinggal bumi Madinah Al-Munawwarah...


Friday, 27 January 2012

Petua memasak secara sihat!

JOM memasak secara sihat!  Jangan sekali-kali memikirkan hidangan kurang menyelerakan apabila kita memasak secara sihat.  Sebenarnya banyak petua dan panduan boleh kita mengubah cara memasak kepada yang lebih sihat.
  • Jikalau anda membeli barangan berkaleng atau di dalam botol seperti kicap, sos tomato, susu, minyak masak, cuba perhatikan barangan berkenaan mempunyai logo Healthier Choice daripada Lembaga Penggalak Kesihatan.  Ini menjamin pembelian anda pilihan yang terbaik.
  • Jangan sesekali lupa sayuran atau buah-buahan segar dalam hidangan.  Ajar anak menikmati sayur-sayuran sejak kecil.  Gunakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang beraneka warna sebagai tarikan untuk mereka menikmati hidangan.
  • Peringkat awal mengajar anak menikmati sayur-sayuran, bolehlah dipotong kecil-kecil atau didadu.

  • Gunakan herba atau rempah ratus untuk membangkitkan aroma dan perasa hidangan anda.  Jauhi bahan perasa atau garam yang keterlaluan untuk mengelakkan ini menjadi kebiasaan apabila memasak.

  • Tambah bawang merah, bawang putih, halia, serai, lengkuas, daun limau bagi menambah enak masakan anda.

  • Tulang ayam, tulang lembu, tangkai cendawan, kacang soya, kacang tanah boleh direneh dijadikan pati penambah rasa dalam masakan.
  • Gunakan kuali atau periuk tidak lekat bagi mengurang penggunaan minyak apabila memasak.
  • Jangan memasak terlalu lama. Sebaiknya celur sayur-sayuran di dalam air panas dua minit.  Selepas itu jangan lupa masukkan sayuran tersebut di dalam air sejuk sebelum menumis.  Tujuannya untuk mengelakkan sayur-sayuran yang dimasak kehilangan khasiat terlalu banyak dan mengekalkan warna segar.
  • Ubah cara memasak.  Gantikan santan dengan susu rendah lemak.  Kalau sering menggunakan bahan perisa, cuba bubuh sedikit gula bersama secubit garam.
  • Elakkan memasak hidangan yang menggunakan santan atau minyak.  Apakata masak secara merebus, memanggang, membakar atau mengukus.  Hidangan akan menjadi lebih enak apabila dimakan secara beramai-ramai.  Jadikan aktiviti memanggang atau membakar ayam, ikan atau daging sebagai kaedah bermesra bersama keluarga pada hujung minggu.
  • Cuba kurangkan memasak secara goreng terendam, misalnya hanya sekali seminggu.
  • Kalau mahu menumis sayur, elak menggunakan minyak.  Gantikan minyak menumis sayur dengan pati ayam yang direbus.

Resepi pajeri nanas lemak manis







Bahan-bahan yang diperlukan:


100g bawang merah
50 g bawang putih
40g halia
2g jintan manis
2g jintan putih
1 batang kulit kayu manis
150 g serbuk kari
100ml air
100g cili kering, dikisar
50g udang kering, dikisar
1 biji nanas, dibelah empat
80g kerisik
10ml santan
150ml cuka
sedikit gula
sedikit garam


Cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah bersama bawang putih, halia, jintan manis, jintan putih dan kulit kayu manis.
  2. Biar sehingga wangi dan masukkan serbuk kari bersama air.
  3. Kacau sebati, masukkan cili keringbersama udang kering.
  4. Masukkan hirisan nanas bersama kerisik dan santan.
  5. Biar seketika di atas api perlahan.
  6. Masukkan cuka bersama gula dan garam.
  7. Angkat dan bolehlah dihidangkan.

Sunday, 15 January 2012

TANAM SENDIRI LEBIH JIMAT

Kini, hampir semua negara di dunia mengalami kesan daripada harga makanan yang meningkat secara mendadak serta kedudukan ekonomi yang tidak menentu.  Amalan berkebun sendiri mampu mengurangkan kesan ini. 
                Tanah adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya.  Banyak tanah-tanah terbiar di kawasan bandar dan luar bandar yang ditumbuhi rumput-rampai dan tanaman yang tidak mendatangkan hasil.  Anda boleh menanam sayur-sayuran dan buah-buahan yang disukai di halaman atau di kebun di rumah anda.    
                Penghuni rumah pangsa dan rumah teres yang tidak mempunyai kawasan bertanah boleh menanam sayur-sayuran di dalam pasu atau beg poli di rumah mereka.  Malaysia dikurniakan dengan sumber cahaya matahari dan hujan yang banyak memudaahkan untuk proses bercucuk tanam.  Dengan melakukan kerja yang sedikit sahaja boleh mendatangkan pulangan yang lumayan.



Kenapa perlu adanya berkebun di rumah?

  • Dapat mengurangkan perbelanjaan seharian untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang semakin meningkat.
  • Anda boleh mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar daripada taman anda sendiri.
  • Anda boleh mendapatkan makanan seperti cili, daun kari dan ulam dengan mudah sekali.
  • Anda mengambil makanan yang sihat kerana bebas dari racun perosak atau racun serangga.
  • Ia boleh dijadikan hobi yang boleh membawa keseronokan pada keluarga.
  • Anak anda sendiri dapat mengetahui daripada mana sumber makanan mereka.
  • Anda akan menghargai nilai makanan dan tidak akan mensia-siakannya kerana ia hasil titik peluh anda sendiri.
  • Memberi kepuasan kerana dapat makan sayur-sayuran dan buah-buahan daripada taman anda sendiri.
  • Menggunakan tanah yang kosong untuk berkebun dapat mengelakkan daripada perbaziran sumber tanah.
  • Hasil tanaman dapat menghijaukan kawasan halaman dan memberikan pemandangan yang indah.
  • Jika menanam dalam kuantiti yang banyak, hasil tanaman boleh dikongsi bersama-sama dengan jiran atau menjualnya untuk mendapatkan wang tambahan.
  • Anda dapat menikmati makanan organik yang dihasilkan sendiri dengan kos yang rendah kerana harga hasil pertanian secara organik tinggi di pasaran.


Langkah keselamatan semasa berkebun

  1. Perhatikan jika sesuatu tumbuh-tumbuhan itu jenis yang berracun sebelum menanamnya di kawasan rumah.
  2. Selalu memakai sarung tangan dan kasut atau but yang bersesuaian semasa berkebun.
  3. Semasa membuang batu-batu, tin, kayu api dan sebagainya, lakukan secara perlahan-lahan.
  4. Sentiasa memeriksa but, sarung tangan dan pakaian sebelum memakainya.  Jika terbiar dalam tempoh tertentu, goncangkannya dengan kuat.  Anda mungkin tidak mengetahui apa yang ada di dalamnya.
    Jangan sekali-kali memasukkan  jari ke dalam lubang-lubang di dalam tanah.
Apa boleh anda lakukan?

Anda boleh menggunakan sama ada baja organik atau baja kimia.  Bagi baja organik, campurkan sebahagian sisa organik (daun kering, kulit kerang, kulit telur, kulit buah, beg teh) dengan tanah dan biarkan ia selama beberapa minggu.  Ia akan menjadi baja asli yang amat baik untuk tanaman anda.

                 Bercucuk tanam mengikut kesesuaian taman.  Jika anda mempunyai kebun yang besar, anda boleh menanam apa jua tanaman yang anda sukai, termasuk tanaman yang memerlukan ruang yang luas untuk membesar.  Sekiranya anda mempunyai kawasan tanah yang kecil, lebih baik menanam beberapa batang cili di dalam pasu atau beberapa jenis sayur-sayuran di dalam beg poli.

                 Bukan semua serangga adalah perosak.  Cacing yang terdapat di dalam tanah boleh membantu manjadikan tanah lembut dan amat sesuai untuk bercucuk tanam.

                 Menuai dan menggunakan air hujan untuk menyiram halaman rumah.  Ia bukan sahaja mengurangkan bil air, tetapi menggunakan air dengan lebih berkesan. 

                 Selalulah menukar maklumat dengan rakan atau tetamu tentang cara untuk menghapuskan rumpai dan perosak tanaman serta menghasilkan tanaman yang lebih baik.  Bercucuk tanam sebagai lanskap seperti halaman rumah atau pasu bunga di balkoni.

                 Jaga keadaan tanah anda.  Lebih banyak perlindungan dibuat, ia akan mengurangkan penggalian dan pengairan.  Adalah baik jika anda belajar cara membuat kompos kerana ia dapat menghasilkan tanaman yang segar dan menjimatkan masa.