JOM memasak secara sihat! Jangan sekali-kali memikirkan hidangan kurang menyelerakan apabila kita memasak secara sihat. Sebenarnya banyak petua dan panduan boleh kita mengubah cara memasak kepada yang lebih sihat.
- Jikalau anda membeli barangan berkaleng atau di dalam botol seperti kicap, sos tomato, susu, minyak masak, cuba perhatikan barangan berkenaan mempunyai logo Healthier Choice daripada Lembaga Penggalak Kesihatan. Ini menjamin pembelian anda pilihan yang terbaik.
- Jangan sesekali lupa sayuran atau buah-buahan segar dalam hidangan. Ajar anak menikmati sayur-sayuran sejak kecil. Gunakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang beraneka warna sebagai tarikan untuk mereka menikmati hidangan.
- Peringkat awal mengajar anak menikmati sayur-sayuran, bolehlah dipotong kecil-kecil atau didadu.
- Gunakan herba atau rempah ratus untuk membangkitkan aroma dan perasa hidangan anda. Jauhi bahan perasa atau garam yang keterlaluan untuk mengelakkan ini menjadi kebiasaan apabila memasak.
- Tambah bawang merah, bawang putih, halia, serai, lengkuas, daun limau bagi menambah enak masakan anda.
- Tulang ayam, tulang lembu, tangkai cendawan, kacang soya, kacang tanah boleh direneh dijadikan pati penambah rasa dalam masakan.
- Gunakan kuali atau periuk tidak lekat bagi mengurang penggunaan minyak apabila memasak.
- Jangan memasak terlalu lama. Sebaiknya celur sayur-sayuran di dalam air panas dua minit. Selepas itu jangan lupa masukkan sayuran tersebut di dalam air sejuk sebelum menumis. Tujuannya untuk mengelakkan sayur-sayuran yang dimasak kehilangan khasiat terlalu banyak dan mengekalkan warna segar.
- Ubah cara memasak. Gantikan santan dengan susu rendah lemak. Kalau sering menggunakan bahan perisa, cuba bubuh sedikit gula bersama secubit garam.
- Elakkan memasak hidangan yang menggunakan santan atau minyak. Apakata masak secara merebus, memanggang, membakar atau mengukus. Hidangan akan menjadi lebih enak apabila dimakan secara beramai-ramai. Jadikan aktiviti memanggang atau membakar ayam, ikan atau daging sebagai kaedah bermesra bersama keluarga pada hujung minggu.
- Cuba kurangkan memasak secara goreng terendam, misalnya hanya sekali seminggu.
- Kalau mahu menumis sayur, elak menggunakan minyak. Gantikan minyak menumis sayur dengan pati ayam yang direbus.