Saturday, 7 January 2012

Aktiviti harian anda, mencuci pakaian. Apakah yang anda perlu tahu?

Setiap hari wanita tidak boleh dipisahkan dengan aktiviti mencuci pakaian.  Tapi tahukah anda cara penjagaaan pakaian dengan  dengan baik supaya dalam pakaian dalam keadaan bersih, sedia untuk dipakai dan tahan lama?  Pakaian pada amnya terdiri daripada pakaian pakaian dalam, pakaian sukan, pakaian kasual dan pakaian formal. 


Penjagaan pakaian

Penjagaan pakaian adalah bermula dengan kebolehan anda menjenalpasti alat dan agen yang digunakan serta pengetahuan tentang cara mencuci, dan menyeterika pakaian

Langkah yang perlu diikuti apabila mencuci pakaian adalah:
  1. Langkah pracuci
  2. Langkah mencuci
  3. Langkah menyeterika

Langkah pracuci

  1. Mengasingkan pakaian 
    • Asingkan pakaian mengikut tahap kekotoran, warna, kegunaan dan jenis fabrik.
    • Asingkan pakaian yang perlu dibaiki dan pakain yang bertanda.
    • Tanggalkan pin, tanda, nama atau lencana
    •  Pastikan setiap kocek kosong.
    • Alatan yang diperlukan ialah bakul dobi, besen atau baldi.
  1. Membaiki pakaian sebelum mencuci. 
Baiki pakaian sebelum dicuci. Sebagai contoh kelim dan kelepat yang meretas dan butang yang tertanggal perlu dijahit semula.  Alatan yang diperlukan ialah alatan jahitan seperti gunting, jarum jahitan tangan, benang, penetas jahitan atau mesin jahit.

  1. Menghilangkan tanda pada pakaian.
    •  Hilangkan tanda pada pakaian serta-merta kerana tanda yang lama lebih susah untuk dihilangkan.
    •  Basuh bahagian yang bertanda dengan air sejuk dan rendam dengan detergen.  Jika menggunakan peluntur, cairkan peluntur mengikut arahan yang diberi.  
    • Agen yang diperlukan ialah sabun, penghilang tanda, peluntur dan air.
  1. Merendam
  • Asingkan pakaian putih daripada pakaian berwarna.
  • Rendam pakaian dengan air, sabun dan detergen untuk melonggarkan dan menanggalkan kekotoran.  Gunakan mesin basuh, besen atau baldi.
    Perhatian:  Pakaian yang direndam melebihi 12 jam akan merosakkan fabrik dan bau.  Penggunaan peluntur yang kerap menyebabkan fabrik cepat reput.
Langkah mencuci

Mencuci ialah proses membasuh dan mengering pakaian.
  1. Mencuci dengan tangan
  2. Mencuci dengan mesin basuh
  3. Mengering
  1. Mencuci dengan tangan
Agen yang digunakan untuk membasuh ialah air, sabun atau datergen, pelembut fabrik, nila, dan kanji.  Semasa mencuci pakaian, pastikan langkah berikut diikuti.
  • Cuci pakaian yang kurang kotor dahulu.
  • Berus atau gosok bahagian yang kotor seperti sebelah dalam kolar, kaf, hujung lengan, bahagian belakang, bahagian punggung, kelepet seluar, blaus dan skirt.
  • Bilas pakaian dua atau tiga kali.
  • Jika menggunakan pelembut fabrik, gunakannya semasa membuat bilasan terakhir.
  • Agen yang digunakan untuk membasuh ialah air, sabun atau detergen, pelembut fabrik, nila, dan kanji.
  • Tahukah anda:  Dengan menggunakan pelembut fabrik, gentian asli menjadi lembut dan kurang berkedut manakala gentian sintetik bebas daripada cas elektrik. Pelembut fabrik juga meninggalkan bauan yang segar.
  • Catatan:  Fabrik kapas atau linen yang dikanji dan diseterika akan kelihatan lebih kemas.

  1. Mencuci dengan mesin basuh
Mencuci dan mengering dengan mesin basuh atau mesin pengering pakaian adalah proses yang biasa dan cepat dilakukan semua orang pada masa kini.  Ia menjimatkan masa dan menjimatkan tenaga.  Anda hanya perlu masukkan dalam mesin basuh dan pilih butang mengikut masa dan proses mencuci yang diinginkan.


  1. Mengering pakaian
Gunakan mesin pengering atau tali ampaian, penyepit pakaian dan penyangkut pakaian.  Agen yang biasa digunakan ialah helaian pelembut fabrik.  Semasa menyidai pakaian perkara berikut perlu diikuti
  • Terbalikkan sebelah luar pakaian ke sebelah dalam untuk memelihara warna dan mengeringkan bahagian yang berlapis.
  • Kirai dan bentukkan pakaian sebelum menyidai.
  • Sidai pakaian dengan ira lurusnya menghala ke bawah.
  • Sepitkan pakaian pada bahagian yang paling kukuh seperti di bahu atau ikatan pinggang.
  • Gunakan penyepit pakaian untuk mengering pakaian seperti gaun, blaus, dan skirt beropol.
  • Tahukah anda:
    • Pakaian putih daripada fabrik kapas yang dijemur di bawah sinar matahari akan menjadi lebih putih.
    • Pakaian berwarna lebih elok dikeringkan di tempat redup dan berangin supaya warna tidak pudar.
    • Fabrik nilon atau polister perlu dititis-keringkan supaya tidak renyuk.

Langkah menyeterika


Pakaian yang telah diseterika akan kelihatan kemas dan menarik.  Berikut adalah peraturan menyeterika pakaian.
  1. Laraskan pelaras suhu seterika sesuai dengan jenis fabrik.
  2. Seterika bahagian berlapis dahulu seperti kolar, kocek, kaf dan ikatan pinggang di sebelah dalam dan luar.
  3. Seterika di sekeliling kancing dan bukan di atas kancing.
  4. Seterika di bahagian lain dengan tekanan yang rata mengikut ira lurus.
  5. Anginkan pakaian yang baru diseterika sebelum disimpan.
  6. Perhatian:
    • Pakaian yang berkanji perlu direnjis supaya lembap sebelum diseterika
    • Bahagian pakaian yang bersulam perlu ditekan di sebelah dalam untuk menimbulkan sulaman.
    • Gunakan kain penekan lembap pada bahagian berkedut atau terlalu kering.
    • Gunakan hujung seterika untuk menyeterika ke dalam kedut lepas dan bukan menekan di atasnya.
    • Laraskan pelaras suhu seterika pada kadar sederhana panas apabila menyeterika fabrik seperti nilon dan polyester.

1 comment:

  1. infomatif sangat! terima kasih, tips ni paling best..

    ReplyDelete